Tuesday, January 5, 2010

Iktibar dari Task Force New Year...~

Bismillahirrahmanirrahim…
Dengan Nama Allah ana mulakan bicara, dengan rasa rendah dirinya ana bermadah pujangga…

Assalamualaikum wa rahmatulLahi Wa Barakatuh..

Bermulalah kisah perjuangan seorang sahabat yang bersemangat untuk berjuang bersama-sama ikhwah akhawat yang lain dalam misi Task Force tahun baru 2010 di KLCC.

Pada tepat jam 5.00 petang, bermulalah perjalanan yang begitu bererti. Seorang sahabat yang begitu mujahadah menempuh segala onak dan duri dalam meniti suatu misi yang begitu bermakna dalam hidupnya.

Berada di stesen KTM pada jam 5.05 petang. Alangkah manisnya lagi apabila 1 jam 30 minit menunggu di stesen KTM dengan keadaan yang tidak boleh digambarkan keletihannya kerana baru sahaja menamatkan kelas sesi petang dan dengan keadaan di stesen KTM yang begitu sesak dipenuhi dengan insan-insan yang bakal berjuang bersamanya suatu hari nanti dalam medan perjuangan menegakkan islam tercinta ini insyaAllah.

Jam di tangan menunjukkan tepat jam 6.30 malam. Ana yang begitu mengejar masa untuk ke KLCC sangatlah tidak tenteram apabila merasakan ana telah terlewat untuk meneruskan misi ini. Namun apa yang penting adalah niat,keikhlasan dan semangat dalam berjuang ini tidak kira kita berada di belakang mahupun berada di depan, kita tetap perlu meneruskan perjuangan ini. Setibanya keretapi di stesen itu, amatlah kecewa apabila ana melihat dalam gerabak itu begitu penuh dengan insan-insan yang pelbagai ragam. Baru sahaja terasa tidak mahu pergi. Namun apabila terkenang kembali niat yang asal tadi ana tetap meneruskan perjuangan. Sambil beristighfar ana memasuki gerabak. Alhamdulillah, sangat bersyukur apabila berjaya menuhkan ruang dalam gerabak itu biarpun berada seperti dalam tin sardin namun apa yang pasti kini ana sudahpun berjaya meneruskan task yang pertama iaitu memasuki KTM. Perjalanan bermula, niat mesti dibetulkan. Setiap saat perlu beristighfar agar segala hasutan syaitan untuk melihat kita berubah niat, dapat kita hindari. Setibanya di stesen KTM bangi terdengar jeritan seorang wanita yang berada di dalam kesesakan dalam gerabak itu, “bodoh la, cubalah bawak bersabar”. Astaghfirullah, semoga dia mendapat keampunan dari Allah. Ana bermonolog sendirian, “ ya Allah, aku perlu kuat dan tabah agar dapat meneruskan misi ini. Train dah penuh tapi tetap ramai yang berhimpit-himpit”. Ketika itu, ana merasakan ingin berhenti di mana-mana stesen untuk mengambil angin, kerana di dalam gerabak itu begitu sesak dan penuh sehingga membuatkan begitu sukar untuk bernafas. Terkenang kembali sahabat-sahabat dan ikhwah akhawat seperjuangan di KLCC. Ana bermonolog lagi, “ aku mesti meneruskan perjuangan”. Alhamdulillah ana bersabar dan meneruskan perjalanan ini.


Jam di tangan sudah pun menunjukkan tepat jam 7.50 malam. Alhamdulillah setinggi kesyukuran ku panjatkan apabila akhirnya tiba di destinasi yang selamat iaitu di stesen KTM KL sentral. Ana terus bersemangat untuk meneruskan perjalanan. Ana perlu menukar tren ke LRT Putra untuk ke KLCC. Tapi dengan berbekalkan dua beg yang digalas, ana perlu ke rumah mak cik ana untuk meletakkan beg itu dan menunaikan tanggungjawab yang lebih penting iaitu SOLAT. Jadi ana pun ke rumah mak cik ana terlebih dahulu, kemudian meletakkan beg, solat dan menukar pakaian yang sesuai.

One Message Received :

‘Salam, ana dah sampai kat KLCC ni, anta kat mana? Ana tunggu anta sebab ana tak tahu jalan nak ke masjid As-syakirin.’

Terkejut melihat mesej itu, ana sangkakan tiada apa yang perlu dikejarkan lagi melainkan pergi terus ke masjid As-Syakirin. Tapi ada juga yang perlu dikejarkan. Ana menarik nafas sedalam-dalamnya dan beristighfar. Apabila ana dalam keadaan yang sedikit tenang ana pun memulakan langkah dan terus berkejar ke KLCC tepat jam 8.40 malam.

9.15 malam waktu yang begitu bermakna dalam hidup ana apabila ana selamat tiba di stesen LRT KLCC. Dengan keadaan yang tergesa-gesa, ana terus berlari menuju ke masjid As-syakirin bersama ukht yang menunggu ana tadi.

Terkesima apabila melihat begitu ramai insan-insan yang berada di sekeliling kami. Begitu menakjubkan apabila melihat anak kecil pun hadir sama untuk menyambut tahun baru ini. Moga adik-adik dan anak-anak kita nanti dipelihara daripada kejahilan ini.

9.30 malam tepat kami tiba di masjid As-syakirin. Alhamdulillah, kami bertemu sama sahabat-sahabat lain. Kemudian ana terus mendengar taklimat dari abang bai disusuri oleh abang dhanny. Usai mendengar taklimat, semangat ana semakin membuak-buak untuk mengedarkan risalah. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergerak dalam kumpuan tersebut. Kumpulan ana semuanya dari CenFos. Kami bertaaruf sebelum memulakan misi. Sesudah berkenalan kami pun terus bergerak mencari mangsa-mangsa yang bakal berada satu saff dengan kami. Jika kami bangun mereka pun bangun dan jika mereka jatuh kamilah yang membantu. Pesan abang bai, pukul 11 malam semua berada di masjid ni ye.

Bermulalah misi kami di taman permainan di KLCC. Pada mulanya kami sangatlah tidak berani untuk menegur sesiapapun di situ kerana kami berasa takut andai mereka membelasah kami atau mengugut atau mengapa-apakan kami. Dengan wajah mereka yang agak menyeramkan. Itulah yang paling kami risaukan. Andai perkara seperti itu terjadi, maka kami tak tahu apa yang patut kami buat. Namun semua andaian kami salah apabila ana memulakan langkah dengan beraninya menegur 3 orang remaja dalam lingkungan 16 tahun. Kekecewaan melanda diri ana dan sahabat ana apabila orang yang kami tegur itu rupanya orang bisu. Kami ketawa kecil sambil merah padam di muka. Malu la katakan. Tidak mengapa. Bak kata pahlawan dahulu kala, agi hidup agi ngelaban. Selagi kami hidup kami akan terus berjuang. Semangat kami tidak akan luntur.

Kami dari CenFos bercadang untuk berpecah supaya dapat lebih ramai orang. Ana pun terus bergerak berseorangan dan bertemu dengan sahabat ana yang umurnya lebih muda dari ana. Mereka sedang seronok mengedarkan risalah tapi takut untuk menegur orang-orang di sekeliling. Al maklumlah mereka sangka semua yang hadir di sini umurnya telah menjangkau 20 tahun dan mereka baru sahaja menamatkan peperiksaan SPM. Kata mereka semua wajah-wajah orang kat sini macam nak makan orang. Ketawa ana mendengarnya. Akhirnya ana membuat keputusan mengikut mereka.
Kami pun mengedarkan beberapa risalah kepada orang-orang di situ. Tapi mungkin pengalaman yang sangat menyentuh hati tidak kami dapat di KLCC kerana orang-orang yang kami tegur semuanya seperti hangat-hangat tahi ayam je nak dengar apa yang kami cakap. Tapi tidak mengapa. Kami hanya mampu mendoakan Allah memberikan hidayah kepada mereka suatu hari nanti.

Tepat jam 11 malam ana pun bergerak ke masjid As-Syakirin untuk berkumpul bersama-sama sahabat yang lain. Adik-adik yang bersama ana tadi pergi meninggalkan ana. Kata mereka nak jumpa kawan kat taman. Ana pun pergi ke masjid bersindirian.

Abang bai pun memulakan tutur bicaranya tentang apa matlamat sebenar dan kenapa kita buat task force ini. Kemudian abang bai membuka peluang untuk sesiapa berkongsi pengalaman pada malam itu. Seorang demi seorang menceritakan pengalaman mereka. Ada yang berkata mereka semua sebenarnya hati lembut, tapi mungkin kerana tekanan jiwa atau masalah keluarga mereka menjadi seperti ini. Mereka seolah-olah akan mendapat kebebasan jiwa apabila berada dalam suasana seperti ini. Seorang demi seorang bertutur bicara dengan penuh semangat. Mungkin kerana baru first time merasai nikmat itu. Jadi semangat mereka sangat dikagumi.

11.30 malam seorang sahabat ana mengajak ana dan sahabatnya yang lain untuk ke Bukit Bintang untuk menyaksikan lagi medan kejahilan umat zaman sekarang. Medan yang dibanjiri dengan insan-insan yang begitu memerlukan tarbiyah dalam hidup mereka. Apabila mereka hanyut dibuai arus duniawi, apabila mereka buntu tiada jalan penyelesaian, segala benda mahu dibuat oleh mereka. Apa yang dimahukan mereka? Kebebasan? Keamanan? Keseronokan? Tatkala di bumi Gaza dibedil dengan peluru dan bom-bom. Dimanakah umat islam ketika itu? Menyambut tahun baru dengan penuh ‘gah’? Dipenuhi maksiat yang melata? ‘Aina jundul muslimin’? Dimanakah tentera islam? Segala persoalan itu terkeluar dari benak fikiran ana.

Perjalanan yang mengambil masa 15 minit untuk tiba di Bukit Bintang itu dipenuhi dengan insan-insan yang sangat ana kesian melihatnya. Berpakaian seperti tidak cukup kain, berjalan berdua-duaan lelaki dan wanita ibarat tiada batasnya, menjerit-jerit seperti keldai yang kelaparan. Sambil beristighfar kami teruskan langkah jihad kami. Walaupun pada hati-hati kami ade perasaan takut yang amat sangat kerana takut kami diapa-apakan. Tapi kami tetap meneruskan kerana kami tahu Allah bersama kami. Dalam perjalanan menaiki escalator pavilion yang rosak, kami terlihat sekumpulan remaja yang bergaduh dengan security guard di situ. Kami teruja kerana buat pertama kalinya melihat orang bergaduh depan mata. Yang membuatkan kami lagi terperanjat adalah mereka bergaduh dengan security guard. Alangkah beraninya mereka. Tapi di hadapan Allah nanti adakah mereka akan berani seperti itu? Terdiam kaku kami tidak terkata. Sungguh terasa diri ini hina kerana tidak mampu membuat apa-apa. Kami insan yang lemah yang hanya mampu membenci di dalam hati. Kami meneruskan perjalanan dan melihat ramai orang berada di dalam pusat hiburan/ bar. Kami sangat terkejut kerana bukan sahaja orang yang bukan islam di dalam bar tersebut malah orang melayu yang beragama islam turut berada di dalam bar tersebut. Sungguh kami tidak sangka.

Mungkinlah betul sesetengah orang kata, orang baik-baik ni tau buat benda baik je. Tau duduk kat masjid je. Bukan nak ambil tahu sangat hal orang luar. Apa yang mereka tahu. Pergi dengar ceramah sini sana. Tapi nak berdakwah dengan orang macam ini takut. Target kat orang yang baik je. Tapi kalau dengan orang yang tidak baik diketepikan. Di usir bagaikan mereka bukan manusia seperti mereka. Terfikir sejenak kata-kata yang pernah terungkap dari hati seorang yang tidak puas hati dengan orang-orang soleh. Astaghfirullah, daku beristighfar. Ya Allah, hambaMu begitu lemah apabila berada di dalam susana seperti ini. Ya Allah, jauhkanlah aku dan sahabat-sahabatku dari gejala maksiat, dari kejahilan yang berada di dunia ini.

Terdengar bunyian yang amat bising di luar pavilion di mana ramai yang berkumpul mendengar lagu-lagu yang rancak dipasang untuk menghiburkan insan-insan yang menginginkan kesoronakan sementara. Kami yang dari tadi mendiamkan diri kerana kaku lidah untuk berbicara amatlah merasakan dunia ini bagaikan berada di kemuncak kejahilan. Mungkin ini kerana kami baru 1st time berada dalam suasana seperti itu.

Melompat – lompat seperti beruk mahukan pisang, menjerit – jerit seperti burung gagak. Sungguh mereka tidak malu dengan Allah atas apa yang mereka lakukan. Kemungkinan mereka menganggap bahawa dunia ini berkekalan buat selama-lamanya atau mereka sendiri sudah mengetahui bahawa mereka akan mati tetapi masih tidak mengendahkannya. Nauzubillah min Zalik. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan mereka. Ana sempat mengambil beberapa video sebagai pengajaran buat semua orang termasuk diri ana sendiri.

Tiba- tiba terdengar countdown tahun baru. Tanpa disedari jam sudah pun menunjukkan tepat jam 12.00 malam. Pelbagai bunyi yang tidak menyenangkan dibuat oleh insan-insan yang berada di situ. Tiba – tiba terdengar dentuman mercun. Sememangnya diakui mercun itu sangat cantik dan agak seronok melihatnya. Sesudah tamatnya sessi mercun dilepaskan. Kemudian bermulalah adegan – adegan yang agak luar biasa. Mereka bermain suatu permainan yang ana menamakan ‘spray buih’. Di mana sesiapa sahaja yang berada disitu mereka akan semburkan dengan spray tersebut dan akhirnya badan mereka berbuih-buih seperti buih sabun. Kami juga terkena tempiasnya. Tetapi apakan daya. Kami redha kerana tidak mampu membuat apa-apa. Sungguh sedih apabila melihat anak – anak kecil yang berumur dalam lingkungan 9 tahun menghisap rokok dan meminum arak. Orang- orang melayu yang mabuk dan wanita-wanita seperti tiada perasaan malu. Apa nak jadi kat manusia zaman sekarang? Bagaimana islam hendak menakluki dunia ini semula jika adanya manusia-manusia seperti ini wujud di dunia ini. Alangkah kecewanya Nabi kita apabila melihat ummat yang begitu disayanginya berada di dalam kancah maksiat ini. Dalam perasaan yang takut dan sedih ana beristighfar, memohon keampunan dari Allah andai sepanjang berada di situ tersalah niat atau telah membuat sesuatu yang dimurkai tanpa disedari.

Kami berjalan agak lama di Bukit Bintang itu, melihat pelbagai ragam manusia dari sekecil – kecil umur manusia sehingga sebesar – besarnya. Ada bayi, kanak-kanak, remaja, orang tua.

Ya Allah, kau Maha Pengampun, ampunkanlah dosa-dosa hambaMu. Ana berdoa setiap masa. Tapi hanya Allah yang mampu beri hidayah kepada mereka. Allah akan berikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Di saat itu ana begitu takut jikalau dimurkai oleh Allah. Tika itu teringat ana akan sahabat-sahabat ana, naqib ana dan keluarga ana. Andai mereka berada di sisi ana. Pasti ana akan gembira sentiasa dan jauh dari landasan jahiliah ini.

“ Sesungguhnya seorang muslim itu, Apabila berjalan di jalan Dakwah. Ia tidak berjalan dengan hatinya sahaja, Bahkan, dibawa bersama hati saudaranya. Justeru itu, setiap pahala yang didapati sepanjang perjalanannya, pasti akan terbias untuk saudara seperjuanganNya.” –Mustafa Masyhur-


Bila terfikir semula, kadang- kadang kita merasakan diri kita menginginkan kebahagiaan seperti itu. Ingin pergi ke konsert untuk menghilangkan stress, ingin merokok kalau tension, ingin berhibur jikalau mempunyai masalah dan ingin melakukan pelbagai lagi yang tidak disukai oleh Allah. Tapi bila ana melihat suasana seperti itu. Ana merasa benci dengan benda itu semua. Ana merasa sangat bersyukur kerana dilahirkan dalam suasana islam. Bila melihat anak-anak kecil yang pergi ke tempat itu, mereka tidak tahu langsung tentang islam dari kecil. Tapi kita, yang ditarbiyah sejak kecil, sejak lahir dan masuk ke sekolah islam sampai besar didik dan ditarbiyah dengan tarbiyah yang hebat sepatutnya bersyukur sangat. Tetapi kita sering leka, kita sering lupa dan seringkali ingin berada jauh dari islam. Kadang- kadang kita merasa bosan dengan tarbiyah, bosan dengan usrah. Sedangkan semua itulah yang membuatkan kita sentiasa disayangi oleh Allah. Kita seharusnya melihat dunia luar agar kita selalu bersyukur. Rasulullah juga menyeru supaya kita melihat orang yang berada di bawah kita supaya kita bersyukur. Pada saat dan ketika itu ana seperti ingin menitiskan air mata kesedihan. Sedih dengan insan-insan seagama yang tersasar jauh dari landasan yang sebenar.

Jam di tangan menunjukkan 1.30 pagi, kami sudah pun merasa keletihan. Letih jiwa, letih rohani, letih fizikal. Kami pun memulakan perjalanan ke KLCC. Kami ingin berehat agar dapat qiamullail pada esoknya. Sepanjang perjalanan ana selalu terfikir, apa gunanya mereka menyambut tahun baru? Apa yang mereka dapat? Apa yang mereka nak sebenarnya? Kalau harini sambut tahun baru, esoknya dapat ganjaran ke? Namun semuanya terjawab apabila ana terfikir bahawa fikrah kita berbeza. Mungkin mereka fikir lain, ana fikir lain. Ataupun kita berfikir benda yang sama namun jiwa dan insan yang mampu mengawal sahaja dapat berfikir seperti itu.

Alangkah indahnya jika kita menghabiskan masa bukan berada di KLCC atau Bukit Bintang untuk menyambut tahun baru tetapi menghabiskan masa berdoa, berzikir, bermunajat di hadapan Allah sebagai tanda syukur kita dapat terus hidup pada tahun yang baru, sebagai tanda sayang dan cinta kita kepada yang Maha Mencintai kerana masih diberikan peluang untuk hidup dan peluang untuk bertaubat kepadaNya. Ya Allah, aku tahu aku tidak layak ke syurgaMu, namun aku tak sanggup untuk ke nerakaMu ya Allah. Jadi kau ampunkanlah dosa-dosaku ya Rabbul Izzati.
Kami tiba di masjid As-syakirin sekitar jam 2.00 pagi. Sungguh letih sekali tetapi kami mendapat pengalaman yang begitu berharga. Sesiapa yang pandai menghargai dia akan mendapat nikmatnya. Namun sesiapa yang tidak reti menghargai sungguh die sangatlah rugi.

Sahabat…
Seharusnya kita bersyukur kerana masih dikurniakan nikmat yang begitu berharga iaitu nikmat iman dan islam. Di mana tidak semua orang dapat mensyukuri nikmat ini. Tidak semua orang merasai nikmat ini. Namun masih ada lagi manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat ini. Marilah sama-sama kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Marilah kita sama-sama kembali kepada fitrah insani. Ya Allah ampunilah segala dosa kami, laksana buih di laut memutih, hanyut ditelan gelombang nafsu.

"Ya Allah, aku bersyukur kerana memilih kami di dunia ini. Aku bersyukur kerana menemukan aku dengan para mujahidah di jalan Mu. Jadikanlah kami sebagai pejuang sayap kanan untuk islam, kerana kami rindu untuk syahid di jalanMu. Kalaupun kami sering terpisah ketika di dunia, yakinkanlah kepada kami.. bahawa pertemuan yang abadi itu adalah di syurga.."

Bila setiap kali bulan Januari tiba
Aku selalu diberitahu oleh ibuku
Tentang manusia dibelenggu nafsu
Selagi iblis masih memegang sumpahnya
Selagi itu diri manusia belum selamat

Ibuku sering berkata :
Hasif, engkau belum lagi selamat.
Selagi engkau belum mengenali hawa nafsumu
Lima itu, sebelum lima
Sebagaimana sabda Rasullah SAW kepada Abu Zar:
Gunakan lima sebelum tibanya lima
Gunakan masa mudamu sebelum tuamu
Dan masa sihatmu sebelum sakitmu
Dan kekayaanmu sebelum miskinmu
Dan kesempatanmu sebelum sibukmu
Dan hidupmu sebelum matimu

Hari ini aku diperingatkan lagi:
Hasif, engkau belum lagi selamat
Kerana sesungguhnya hawa nafsu itu
Menjadikan raja itu hamba
Dan sabar menjadikan hamba itu raja

Sabda Rasullulah saw yang kucuplik:
Ada tiga perkara membawa kecelakaan
Pertamanya, tersangat bakhil
Kedua, mengikut hawa nafsu
Ketika, kagum dengan diri sendiri

Lalu aku bertanya diriku:
Apakah aku berada dalam dimensi ‘la illah’
Atau sudahpun memasuki dimensi ‘ilallah’
Apakah benar aku belum lagi selamat
Dari godaan iblis dan belenggu hawa nafsuku
Aku pasrah, jauhi aku dari i’jaab bi an-nafsi


Pernah dahulu, As-syahid Hassan Al-Banna bercerita tentang cita-citanya kepada seorang sahabat ikhwan, katanya..

"Andai diumpamakan ISLAM seperti sebuah bangunan yang hampir roboh, maka Aku akan berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda.. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka.. Tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas, untuk membantu dan bersamaku membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersegam indah, kemudian masyarakat terkejut melihat betapa hebat dan indahnya bangunan yang dahulunya hampir roboh. Mereka tercengang-cengang melihatkan pemuda-pemuda yang berada di dalamnya..Mereka bermanis muka dan berpakaian kemas..sungguh berbeza dengan masyarakat luarnya..."

Maaf andai ada bahasa yang tidak sesuai untuk digunakan atau penggunaan bahasa yang tidak betul. Tapi harap perkongsian ini tidak sia-sia dan ambillah pengajaran yang ada. Semua kesilapan dari diri ana dan segala kebaikan dari Allah.

Wallahu a’lam

2 comments:

Bashir IbnDzul said...

salam,

perkongsian yang menggugah jiwa..

Al-Mujahid said...

w'salam...

emm.. mcm mane bleh menggugah jiwa tu akhi??
:)

Post a Comment